Sunday, December 29, 2013

KAUM INTELEKTUAL, PENCELIK DAN RAKYAT

Dialogue Corner

oleh : Laksamana Setia

Sejarah pernah mencatatkan peranan kaum intelektual dalam membangkitkan semangat revolusi sosial masyarakat.Namun kini peranan tersebut kurang di rasai apabila golongan intelektual lebih gemar mengasingkan diri di dalam kotak-kotak kecil yang di pasang penghawa dingin.

Suatu ketika dahulu, kita melihat golongan ulama’ atau intelektual begitu menyebati dalam masyarakat. Mereka adalah salah satu elemen penting dalam perubahan yang berlaku. Tapi berbeza dengan sekarang, kaum intelektual telah menjadi suatu barang yang “mahal”, sehinggakan diletakkan di dalam tembok yang menghalang masyarakat dari berinteraksi terus dengan mereka. Kaum intelektual bukan lagi berperanan sebagai “Pencelik” tetapi mereka adalah golongan teoris yang gemar membuat kertas kerja dan ilmu yang berpusing sekitar mereka tanpa ada partisipitasi dari orang awam. Membuat khayalan-khayalan yang berlegar-legar sekitar meja bulat.

Che Guevara pernah menasihati kaum intelektual sebegini, dalam ucapannya di hadapan pelajar university, beliau menyebutkan,

“The university cannot be an ivory tower, far away from the society, removed from practical accomplishments of the revolution. If such attitude is maintained, the university will continue giving our society lawyers that we do not need”

Dengan itu, dalam artikel ini,aku akan membentangkan idea Ali-Shariati dari bukunya “Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner”. Yusof Progler, dalam prakata ,mengutip Ali-Shariati :

“mereka yang dianggap celik, adalah pemikir unik yang dapat melihat punca penyakit atau masalah yang menimpa masyarakat mereka, dan meningkatkan kesedaran masyarakat bagi menyelesaikan masalah”

Dalam buku ini, Ali-Shariati menyatakan bertapa pentingnya untuk membina semula jambatan penghubung antara golongan intelektual dan rakyat. Bagi beliau tersangat perlu golongan celik itu wujud untuk menjadi jambatan antara dua golongan yang disebutkan. Beliau mengatakan ramai yang keliru tentang makna intelektual dan celik, dan berpendapat bahawa dua golongan ini adalah sama. Sedangkan, Ali Shariati menyatakan bahawa,tidak semua “pencelik” itu lahir dari golongan intelektual, dan tidak semua golongan intelektual itu menjadi “pencelik”. Ini kerana, golongan “pencelik” adalah jambatan penghubung yang membuka ruang interaksi antara para intelektual dan rakyat. Mereka adalah golongan yang sedar dan arif mengenai situasi sosial pada zaman itu. Malah beliau mengatakan, banyak contoh kebangkitan revolusi dilakukan oleh orang yang tidak terdidik (intelektual), tetapi mereka mempunyai kesedaran dan keazaman sehingga mampu membangkit jiwa-jiwa yang mati.

Para “celikiawan” adalah manusia biasa yang mengambil tugas nabi dalam mendidik masyarakat. Pemberi kesedaran kepada rakyat tentang keadaan semasa yang berlaku, dan membuatkan golongan intelektual berfikir yang mereka perlu berjalan seiring malah melarut dalam masyarakat. Ilmu yang ada pada intelektual perlu di praktik, mereka mampu membawa perubahan. Tiada guna, jika ilmu-ilmu tersebut di letakkan di atas rak-rak perpustakaan yang jelas sekali hanya menjadi tempat berhantu yang dihuni makhluk-makhluk halus.

”Celikiawan”, harus berperanan sebagai sosok yang membawa idea baru yang kadang-kala bertentangan dengan realiti pada masa tersebut. Kebenaran atau reality adalah bersifat relatif. Jika kita mendakwa memiliki kebenaran, sebetulnya itu hanyalah kebenaran yang bersifat sementara, yang menantikan penentangan yang baru, bagi menghasilkan realiti yang baru. Boleh aku katakan bahawa, golongan “celikiawan” adalah golongan perubah zaman, yang mampu merubah gaya fikir masyarakat, golongan yang mampu menggerakkan masyarakat secara ideologis dan mencipta realiti baru.

Mari kita berbalik kepada sejarah zaman, barat, timur, utara mahupun selatan. Golongan celik pasti lahir di tengah-tengah masyarakat yang mengalami kemunduran dan penindasan. Kita lihat sejarah Islam, Rasulullah sendiri sebagai perubah zaman, yang membina masyarakat Arab yang rosak, menjadi sebuah tamadun yang disegani dunia.  Baginda merupakan contoh terbaik, namun begitu, pasti mereka mengatakan, ini adalah hasil tunjuk ajar wahyu. Maka kita mengambil contoh lain, seperti Hassan Al-Banna yang berjaya menyatukan masalah mazhab yang hampir membawa kepada perpecahan teruk umat Islam.

Di barat pula, kita mendengar nama-nama seperti Che Guevara, Marthin Luther King, Malcolm-X, Hugo Chaves dan macam-macam lagi nama-nama yang begitu masyhur yang berjaya membawa keluar masyarakat dari penindasan kepada masyarakat yang bebas. Jika tidak mahu melihat jauh, mari kita kembali kepada tanah air kita. Sebelum saat “kemerdekaan”, penentangan-penentangan yang lahir dari pejuang-pejuang seperti Tok Janggot, Dato’ Bahaman, Tokku Paloh, Mat Kilau, Dato’ Maharaja Lela, Dol Said Naning dan ramai lagi yang sedar akan kesan dan akibat dari penjajahan, yang pada ketika itu ramai orang mengambil sikap berdiam diri. Kaum yang celik seperti ulama’ mengambil sikap menetang. Kelas-kelas dipenuhi dengan bercerita tentang keperluan jihad menentang penjajahan, menentang kezaliman, menentang segala bentuk penindasan, yang akhirnya banyak memakan darah para pejuang dan ulama’ demi sebuah keadilan.

Namun kini, semangat perlawanan semakin pudar, kezaliman dan penindasan di diamkan. Kezaliman dan penindasan malah di dokong oleh mereka yang beraoutoritas agama. Berlaku penyalahgunaan intelektual untuk memenjara sebuah “pemberontakan”. Masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi, dengan cerita-cerita yang tidak membakar semangat anti-kezaliman, tetapi tersangat fokus dan memperhalusi ritual-ritual agama selama bertahun-tahun, dan spiritual yang lebih mementingkan diri daripada bergiat langsung dalam mengurus kepentingan masyarakat. Golongan intelektual pula digunakan sebagai perisai pemerintah untuk mencari dalil menutup segala kesalahan dan kezaliman yang di lakukan agar ianya nampak seperti suatu tindakan yang suci.

Islam adalah agama perlawanan, kehidupan ini adalah suatu perlawanan. Seharusnya kita berani untuk protes demi sebuah keadilan, mengungkapkan kebenaran di hadapan kekuasaan dan menggugatnya. Kita perlu sentiasa menjadi anti-thesis terhadap thesis yang wujud. Islam adalah agama amar ma’ruf nahi munkar. Protes ke atas segala kemungkaran.
Kesimpulannya, kita perlu jelas, sebagai mahasiswa, di pihak mana kita harus berada. Menjadi mereka yang intelektual semata-mata? atau menjadi rakyat biasa yang taat membabi-buta? atau agen perubahan, iaitu golongan celik yang akan menyedarkan dua elemen tersebut (intelektual dan rakyat)? Terpulang pada kita, kerana kita mampu merubahnya.


*artikel ini dipetik dari laman Dialogue Corner dan bukan hak rasmi GERIMIS

SEMBANG KOPI

Jemput datang! Info lanjut: 019-3778759

Wednesday, December 25, 2013